Pages

Followers

Wednesday, 12 December 2012

Temubual Mat Kilau Pahlawan Terbilang Melayu

Utusan Melayu temu bual Mat Kilau secara eksklusif



 Klik SINI
Mat Kelantan (bercermin mata) memegang Mat Kilau bagi mengenal pasti pahlawan itu sewaktu pertemuan semula mereka di Pusat Latihan Pertanian, Paya Besar, Kuantan pada 6 Februari 1970.

AKHBAR Utusan Melayu dan Utusan Malaysia merupakan akhbar pertama di negara ini yang menemui Mat Kilau untuk mendapatkan temu bual secara eksklusif dengannya selepas kemunculan semula pahlawan Melayu itu.

Wawancara eksklusif yang disiarkan di muka hadapan Utusan Malaysia bertarikh 29 Disember 1969 itu bertajuk Sah: Pahlawan Mat Kilau maseh hidup hasil laporan Nordin Mohammad dan Haji Alang Ahmad.

Dalam wawancara itu, Mat Kilau memberitahu, beliau menukarkan namanya kepada Mat Siam kerana dititahkan oleh Almarhum Sultan Abdullah apabila baginda menitahkannya berpindah dari Kampung Tanjung Medang, Pekan ke Kampung Batu Lima, Jalan Maran-Kuantan sekitar 1927.

Beliau yang membahasakan dirinya sebagai Aki memberitahu, baginda bertitah demikian kerana bimbang orang-orang Inggeris yang masih berkuasa di Pahang ketika itu mengetahui dirinya masih hidup.

Dalam pada itu, beliau turut menyingkap semula kisah-kisah hidup dan perjuangannya suatu ketika dahulu.

Menurutnya, dalam peperangan Kuala Lipis-Budu, beliau telah membunuh sepasukan tentera upahan Inggeris terdiri daripada orang-orang Sikh di Kuala Tembeling.

"Perang itu sangat dahsyat. Aki terpaksa menghadapi hujan peluru yang ditembak oleh tentera tersebut," katanya sambil memberitahu bahawa beliau menggunakan sundang dan beberapa senjata lain dalam perang tersebut.

Ditanya mengapa meninggalkan Pahang setelah berpecah dengan Datuk Bahaman, Mat Kilau terdiam seketika sebelum memberitahu beliau sebenarnya telah dihalau oleh pentadbir British, Sir Hugh Clifford.

Clifford katanya bertindak biadab dengan menyifatkan dirinya sebagai 'bab* lemak'.

"Sejak itulah Aki merantau dari kampung ke kampung. Akhirnya Aki sampai di Kampung Panar dan Kampung Jambu di Pattani, Siam. Di situ Aki menjadi guru silat," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Renc...#ixzz2Bp9Eon58
© Utusan Melayu (M) Bhd


Tok Guru Peramu adalah Datuk Bahaman?


SETELAH Mat Kilau mendedahkan identitinya, seorang lagi pahlawan, Mat Saman Sulaiman yang menggunakan nama samaran Mat Kelantan turut melakukan perkara sama.

Namun, masyarakat masih tertanya-tanya mengenai identiti sebenar seorang lagi individu yang terkenal di Kuantan dan berilmu tinggi iaitu Tok Guru Peramu.

Ada yang beranggapan, Tok Guru Peramu merupakan Datuk Bahaman atau nama sebenarnya, Tengku Abdul Rahman Tuanku Imam Nuh.

Walaubagaimanapun Tok Guru Peramu tidak pernah mengakui hakikat tersebut sehingga beliau meninggal dunia pada 23 Julai 1977.

Jika ada yang bertanya, maka akan diherdiknya orang itu meskipun beliau sering bercerita mengenai Tok Gajah, Mat Kilau dan para pejuang lain.

Namun beberapa individu ditemui S2 yakin bahawa Tok Guru Peramu adalah Datuk Bahaman. Salah seorang daripada mereka adalah Guru Tua Silat Terlak, Abdul Rahman Jaafar, 75.

Menurut Abdul Rahman, keyakinannya itu bersandarkan kepada satu peristiwa yang dialami sekitar 1970-an yang mana beliau bertemu dengan Tok Guru Peramu.

"Nenek saya bernama Hawa ada memberitahu bahawa Datuk Bahaman masih hidup. Beliau turut menyerahkan badik yang didakwa pemberian Datuk Bahaman kepadanya.

"Kata nenek, kalau benar orang yang kamu temui itu Bahaman, dia akan tahu nama badik ini iaitu, Khairulzaman," katanya.

Abdul Rahman menambah, apabila kecoh orang mengatakan Tok Guru Peramu itu Datuk Bahaman, beliau membawa badik itu untuk bertemu tok guru tersebut. Ketika itu neneknya sudah meninggal dunia.

Sebaik sahaja melihat badik itu katanya, Tok Guru Peramu mencabutnya dari sarung lalu mencium sebanyak dua atau tiga kali. Diletakkan di bawah pahanya lalu ditanya dari mana Abdul Rahman mendapat badik itu.

"Saya terangkan daripada nenek. Lalu saya tanyakan namanya. Tok Guru Peramu mengajak saya makan dan minum dahulu. Hanya selepas itu baru diberitahu bahawa nama badik itu adalah Khairulzaman seperti diberitahu nenek.

"Pahlawan itu juga mengakui bahawa badik tersebut diberikannya kepada nenek yang menggunakan nama Yang Esah sewaktu awal perkenalan mereka dahulu," ujarnya.

Sementara itu, Guru Tua Seni Silat Cekak Menanti, Mat Salleh Tahar, 76, turut mendakwa bahawa Tok Guru Peramu pernah mengaku padanya bahawa dirinya adalah Datuk Bahaman.

Ditanya bagaimana perkara itu boleh berlaku, beliau menjelaskan Tok Guru Peramu mulanya menyatakan bahawa terpulang kepadanya untuk mempercayai apa yang hendak diberitahu.

Tok Guru Peramu pada mulanya berkata "Akulah Raja Sulaiman," sebelum berhenti seketika dan menyambung "Akulah Datuk Bahaman,".

Dalam pada itu, cucu Mat Kilau, Mohd. Alhamadi Abu Bakar, 46, menceritakan bahawa bapanya, Abu Bakar Awang pernah diarahkan Mat Kilau agar bertemu Tok Guru Peramu ketika pahlawan itu semakin hampir untuk membuat pendedahan mengenai identitinya yang sebenar.

"Apabila tiba di rumah Tok Guru Peramu, ayah yang sememangnya diketahui sebagai menantu Mat Siam memberitahu tok guru mengenai niat Mat Siam untuk 'keluar'.

"Tidak semena-mena, Tok Guru Peramu seakan-akan naik angin dan mengatakan bahawa 'orang di hulu dah nak mati' kepada ayah. Mungkin perkara itu ada kaitan dengan sumpah mereka untuk tidak mendedahkan identiti masing-masing suatu ketika dahulu," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Renc...#ixzz2BpGfiqzm
© Utusan Melayu (M) Bhd


Chu Salleh orang kepercayaan Mat Kilau



Penulis menemu ramah Mat Salleh Tahar yang uzur.

SEBAIK tiba di sebuah rumah papan usang di Kampung Semangat, Kuantan, Pengerusi Biro Penyelidikan Silat Negeri Pahang, Mazlan Hashim yang membawa penulis ke situ lantas memberi salam.

Malangnya salam itu tidak bersambut. Lalu kami memutuskan untuk melangkah ke dalam rumah itu yang pintunya luas ternganga.

Di bahagian tengah rumah, terlihat seorang tua berbaring di katil. Bantalnya sudah berkulat manakala, keadaannya jelas tidak bermaya akibat serangan strok pada 2007.

Lelaki itu sebenarnya bukan calang-calang orang. Beliau ialah rakan karib Mat Kilau suatu ketika dahulu iaitu Mat Salleh Tahar, 76, yang juga Guru Tua Seni Silat Cekak Menanti serta mesra dipanggil Chu Salleh.

Apabila diajak berbicara tentang Mat Kilau, sedaya mungkin Chu Salleh cuba bertutur. Digagahkan kudrat tuanya untuk mengiring menghadap penulis.

"Saya mula berkenalan dengan Mat Kilau yang ketika itu masih menggunakan nama Mat Siam ketika berkursus di Taman Pertanian Negeri Pahang di Kuantan. Orangnya baik tetapi hidup susah. Saya berasa kasihan melihatnya.

"Beliau suka bercerita kisah-kisah lama. Katanya, beliau cucu Tok Gajah dan anak kepada Teh Ibrahim sedangkan hakikat sebenar Tok Gajah adalah ayahnya dan Teh Ibrahim merupakan adiknya. Dia buat begitu mungkin kerana mahu sembunyikan identiti sebenar daripada saya," katanya.

Chu Salleh mendakwa, Mat Kilau pernah memberinya peluang untuk menjaga tudung perang yang menjadi antara barangan kesayangan pahlawan itu.

"Saya berminat dengan kain itu. Warnanya hendak dikata hijau tidak hijau, kuning tidak kuning. Apabila ditanya pada Ayah Mat adakah itu kain cindai, jawabnya bukan. Itu adalah tudung perang pemberian Tok Gajah.

"Saya minta untuk membelinya dengan harga RM2, tetapi Ayah Mat beritahu kain itu tidak ternilai harganya. Saya minta cebisannya tetapi Ayah Mat beritahu kain itu tidak boleh dipisahkan. Kalau diceraikan, kita putus dengan guru," ujarnya.

Melihatkan minat Chu Salleh terhadap kain itu selain percaya padanya, Mat Kilau lalu membenarkan rakannya itu menyimpan tudung perang tersebut dan diajar cara pemakaiannya.

"Ayah Mat beritahu, kalau hendak menghadap raja, ekornya dililit tegak ke atas. Kalau hendak berhadapan musuh, lilit di kepala dan ekornya jatuh di dada kamu," katanya.

Tambahnya lagi, setelah Mat Kilau mendedahkan identiti, anak kepada pahlawan itu bernama Omar ada datang menemuinya untuk meminta agar tudung perang itu dikembalikan.

"Namun tudung perang itu tidak diserahkan. Saya hanya mengembalikannya kepada Mat Kilau sendiri apabila menziarahnya selepas itu di rumahnya di Batu 5, Paya Besar," jelasnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Renc...#ixzz2BpHF4OLG
© Utusan Melayu (M) Bhd



Jejak pahlawan Mat Kilau




SUSUK tubuh Mat Kilau tidak lama selepas mendedahkan identitinya pada 26 Disember 1969. Gambar belakang: Kelihatan Bukit Raya yang menjadi tempat Mat Kilau menuntut ilmu dan berjuang bersama bapanya, Tok Gajah.

DALAM usaha mempertahankan agama dan tanah air, bukan sedikit pengorbanan dituntut. Usahkan keringat, malah rembesan darah juga ada kalanya seakan-akan lumrah bagi mereka yang sanggup mati demi kedaulatan bumi tercinta.

Semua itu dibuktikan oleh sejarah. Nama-nama seperti Penghulu Dol Said di Naning, Tok Janggut di Kelantan, Datuk Maharajalela di Perak serta Tunku Muhammad Saad di Kedah seolah-olah tidak pernah gentar dengan maut dalam mendepani asakan penjajah.

Begitu juga di Pahang. Orang Kaya Setia Perkasa Semantan, Datuk Bahaman bersama Orang Kaya Indera Gajah Pahang, Tok Gajah sanggup mengetepikan kesenangan hidup hanya kerana tidak mahu tunduk kepada Inggeris meskipun ditekan habis-habisan agar menyerah kalah.

Sewajarnya, semangat perjuangan wira-wira berkenaan perlu diterapkan ke dalam jiwa anak-anak muda hari ini. Tidaklah nanti ada antara mereka yang terlupa tentang jerih perih kehidupan sekiranya maruah bangsa tergadai.

Berbicara tentang pejuang-pejuang negara, tentunya nama yang tidak terlepas daripada menjadi sebutan adalah Mat Kilau.

Kemunculan semula legenda itu pada 26 Disember 1969 menggemparkan tanah air setelah beberapa kali dikatakan meninggal dunia ketika menentang penjajah.

Bermula dari situ, timbul satu persatu rahsia yang tersembunyi. Kisah-kisah lama mula terungkai sehingga mendatangkan rasa takjub orang ramai pada waktu itu.

Bagi merungkai semula cerita-cerita itu, wartawan S2, MOHD. RAFIE AZIMI bersama jurugambar, AMIN FARIJ HASAN menjelajah ke bumi Pahang bagi menjejak kisah pahlawan Melayu, Mat Kilau atau nama sebenarnya, Muhamad. Beliau adalah anak kepada Rasu Abdul Salam (Tok Gajah).

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Renc...#ixzz2BpHy9PMi
© Utusan Melayu (M) Bhd

2 comments:

  1. tapi ramai anak muda dah lupakan jasa dorang ni. bagus entri ni.bagi anak muda baca ;)

    ReplyDelete
  2. betol tu amirul.. ada jugak yang melabel pejuang2 ni semua adalah pengganas... bukannya orang british... orang malaysia jugak... hmmm...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...